Sunday, December 13, 2015

JOM MAKAN-MAKAN RESTORAN MABIQ DI KUANTAN

Daging Salai Masak Kicap + Sayur + Tempoyak Petai Ikan Bilis + Ikan Pekasam = RM8.00


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya ingin bercerita mengenai Restoran MABIQ yang terletak di Kuantan, Pahang. Tidak semua orang tahu mengenai "lokasi rahsia" restoran ini waima orang Kuantan sendiri sekali pun. Saya sendiri kerap kali turun ke Kuantan atas urusan kerja bertahun-tahun lamanya namun tidak sedar akan kewujudan restoran sangat istimewa ini. Kalau dah sekali datang ke sini, anda akan rasa nak datang lagi dan lagi dan lagi.

Pelbagai menu di sini hingga tak tahu nak makan apa..


MABIQ adalah singkatan kepada "Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran" yang merupakan sebuah Maahad Tahfiz persendirian yang berkonsepkan pendidikan kebajikan untuk anak yatim dan fakir miskin. Ianya diasaskan oleh Ustaz Jamaluddin di atas tanah beliau sendiri yang berukuran kurang suku ekar di Kg Peramu, Kuantan. Walau bagaimanapun, segala perbelanjaan pendidikan dan makan minum para pelajar ditanggung sepenuhnya oleh pihak MABIQ hasil daripada sumbangan derma ikhlas orang ramai dan juga hasil jualan daripada Restoran MABIQ itu sendiri. Secara ringkasnya, setiap kali anda makan di sini, sebenarnya anda telah membantu meningkatkan ekonomi pihak MABIQ.

Ikan patin ini hanya berharga RM2.00 satu


Apakah yang isitimewa sangat makan di sini? Antara menu utama yang popular di sini ialah Daging Salai Goreng Kicap, Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Paeh Patin, Patin Masak Tempoyak, Sambal Hitam, Gulai Lemak Rebung Perut dan banyak lagi. Itu baru sikit menu yang saya senaraikan. Saya akui bahawa kesemua menu yang disebutkan tadi adalah lazat-lazat belaka. Saya berani kata bertaraf 5 bintang! Bayangkan saya dan kawan-kawan seramai lima orang makan di sini dan kelima-lima kami sebulat suara mengakui lauk-pauk yang ada di sini memang tip-tiop dan sangat sedap hingga menjilat jari.

Orang ramai yang berkunjung ke sini tdak putus-putus..


Seperti yang saya maklumkan tadi, tempat ini sangat tersorok. Jika anda hendak datang makan-makan di sini, sebagai panduan, dari bandar Kuantan kena melalui Tanjung Lumpur (yang ada gerai-gerai makan yang banyak tepi jalan sebelah kiri) teruskan ke depan sikit lagi akan nampak papan tanda sebesar skrin komputer belah kiri tertera perkataan MABIQ bersamaan simpang ke Yayasan Pahang. Nampak sahaja papan tanda tersebut terus masuk kiri dan masuk dalam lagi lebih kurang 3-5 minit. Nampak sahaja kereta banyak parking di situ maka itulah MABIQ.

Antara menu istimewa di sini iaitu Paeh Patin (ikan patin yang 'di-paeh' bersama tempoyak) berharga RM7.00


Paeh Patin sungguh memikat selera..


Restoran MABIQ beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 4 petang dari hari Ahad hingga Khamis sahaja. Jadi, jika anda berkunjung ke Kuantan, pastikan anda tidak melepaskan peluang merasa masakan mereka yang menjadi bualan mereka-mereka yang pernah makan di situ. Sedap, lazat dan semestinya halal.

Restoran MABIQ

No comments:

Post a Comment

Terima kasih ;)

{ My Popular Posts }