Tuesday, December 15, 2015


MH2710 Kuala Lumpur - Sandakan


Assalamualaikum. Catatan kali ini adalah sekadar untuk berkongsi maklumat. Selepas kita dikejutkan dengan trajedi kehilangan pesawat MH370 baru-baru ini, ramai di antara kita sudah mula takut atau phobia untuk menaiki kapal terbang. Ada juga yang sudah mula tidak percaya bahawa kapal terbang adalah pengangkutan paling selamat di dunia. Siri kejadian yang membabitkan kapal terbang kebelakangan ini juga menambahkan lagi ketakutan. Bermula dengan kehilangan pesawat MH370, enjin pesawat Malindo Air terbakar dan mendarat cemas, tayar meletup, ancaman bom palsu, satu demi satu kejadian ini berlaku bagaikan badi yang tidak berkesudahan. Tidak dinafikan memang berlaku beberapa masalah teknikal pada pesawat-pesawat tempatan sebelum ini namun bukankah masalah sedemikian juga menimpa syarikat-syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Qantas Air dan Virgin Air yang dikatakan memiliki rekod terbaik dari segi tahap keselamatan mereka?

Siapalah kita untuk melawan takdir Allah SWT? Jika Dia berkehendakkan sesuatu, dengan hanya berkata jadi, maka jadilah ia. Jika sudah sampai ajal kita, bukan sahaja di dalam kapal terbang, di mana-mana pun kita pasti akan mati juga. Saya bukanlah pakar agama, tetapi ini hanyalah sekadar tazkirah (peringatan) untuk diri sendiri dan kita semua. Konspirasi? Sabotaj? Itu terpulanglah pada persepsi masing-masing. Memahami apa itu takdir dan memahami cara untuk menerima takdir adalah perkara yang tidak boleh diambil ringan. Melawan takdir atau tidak mahu menerima hakikat takdir pula adalah suatu perbuatan tidak yakin pada qada' dan qadar dan secara otomatik tidak mempercayai rukun iman yang keenam dalam agama Islam yang boleh menyebabkan tertolaknya iman seseorang. Wallahu 'aklam.

Kita sering lupa untuk membaca doa menaiki kapal terbang.


Doa menaiki kenderaan:

بِسْمِ اللَّهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا 

Ertinya: "Dengan menyebut nama Allah di waktu berlayar dan berlabuhnya."

Keterangan: Doa ini bersumber dari Al-Qur'an, surat Huud ayat 41. Di zaman Rasulullah SAW, doa ini adalah doa untuk menaiki kenderaan laut dan setelah ada kenderaan udara (kapal terbang), alim ulama sepakat menyatakan bahawa doa ini juga boleh digunakan.



Jangan lupa untuk memberikan perhatian pada arahan keselamatan daripada anak kapal walaupun anda berasakan bahawa anda sudah tahu atau pernah melihat dan mendengar tentang taklimat keselamatan sebelum ini. Taklimat atau arahan keselamatan adalah berbeza dari pesawat ke pesawat yang lain.


Adalah digalakkan untuk membaca doa untuk perjalanan jauh bermula dari keluar rumah lagi ditambah pula dengan bacaan selawat, al-fatihah, ayat kursi dan bertawakal (berserah) pada Allah SWT agar perjalanan kita diberkati dan selamat tiba ke destinasi. Apabila sudah di dalam kapal terbang, maka bacalah doa seperti di atas. Bukankah doa itu ialah satu ucapan permohonan dari hamba-Nya kepada Allah dengan rendah diri dari hati yang jujur dan ikhlas bagi mendapatkan rahmat, inayah dan pertolongan-Nya atau menolak segala bahaya, bala dan bencana dengan cara dan adab yang tertentu? Sekian. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih ;)

{ My Popular Posts }