Monday, January 25, 2016

Terima Kasih Allah









Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Bermulalah satu lagi episod kehidupan.



SYAHADAH

Tahniah di atas hidayah dan taufiq-Nya, maka Islam lah kamu wahai isteri abang. Semoga Allah merahmati kamu dan memudahkan kamu untuk mendalami lagi agama Islam dan menjadi isteri yang taat pada perintah Allah dan Rasul. Mudah-mudahan kamu menjadi isteri yang sentiasa taat pada suami, menjadi isteri solehah dan beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Aaamiinn..

أشهد أن لا إله إلا ألله
Aku  naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
وأشهد أن محمدا رسول الله
dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.


SABAR

Selama dua tahun bersabar dengan penat-lelah perancangan yang dimulakan semenjak 2014, kisah lama pun berakhir dengan baik dan berhikmah. Kita nak yang baik tapi Allah bagi yang terbaik. Semua yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sabar sebenarnya adalah kunci kepada sebuah pengharapan. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Syukur alhamdulillah semuanya sudah berakhir. Kita merancang bagai nak rak bertahun-tahun tidak menjadi, tapi dalam waktu yang cukup singkat, Allah hadirkan kamu pada masa yang tak terduga dan pada masa yang sungguh tepat. Dia hadirkan seorang insan yang benar-benar ikhlas untuk berhijrah. Benarlah kata-kata Allah..


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ 
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu
(wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?

وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ 
Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu
(menyiarkan Islam),

الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ 
Yang memberati tanggunganmu,
(dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ 
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu
(dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا 
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa
sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا 
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya
tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ 
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh),
maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ 
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau berharap
(apa yang engkau gemar dan ingini).


Wednesday, December 23, 2015

Salam Maulidur Rasul 1437 Hijrah





Sempena Maulidur Rasul esok, maka admin ingin berkongsi sedikit maklumat sejarah Nabi Muhammad SAW. Semoga kita mendapat manfaat daripada posting kali ini. Sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus kearah menyedarkan umat Islam kearah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.



SEJARAH

Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Mekah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571 Masihi). Bapa baginda bernama Abdullah bin Abdul Muthalib dan ibu baginda bernama Aminah binti Wahab dari suku Quraisy berasal daripada suku kaum yang dipandang mulia ketika itu. Ibu susu baginda pula bernama Halimatus Saadiah (menjadi adat masyarakat untuk mecari pengasuh bagi anak-anak mereka).

Nabi dijaga oleh Halimatus Saadiah selama 4 tahun dan dikembalikan semula kepada ibunya. Bapa baginda meninggal dunia semasa baginda berada di dalam kandungan. Semasa dalam perjalanan pulang dari melawat kubur suaminya, ibu baginda pula meninggal di suatu tempat yang dipanggil Abwa' ketika baginda berumur 6 tahun . Maka tinggallah Nabi SAW seorang diri dan dijaga oleh datuknya.

Semakin baginda meningkat dewasa sifat kepimpinan baginda mula terpancar keluar dan baginda juga digelar Al-Amin kerana sentiasa berkata benar. Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah pada usia 25 tahun yang terkenal dalam kalangan kaum Quraisy kerana kesucian, sifat budiman dan dermawannya. Sewaktu baginda berusia 35 tahun terjadilah perselisihan di antara pembesar Quraisy untuk meletakkan Batu Hajarul Aswad di depan Kaabah dan dengan tindakan yang bijak baginda menyelesaikan masalah tanpa ada pihak yang tidak puas hati.

Sewaktu Nabi Muhammad SAW berumur 40 tahun baginda sering pergi ke Gua Hira' untuk menyendiri daripada kaumnya yang menyembah berhala kerana Nabi Muhammad SAW tidak suka kepada cara sembahan kaumnya itu. Pada malam 17 Ramadan atas perintah dari Allah SWT, malaikat Jibril datang kepada baginda untuk mengajar baginda membaca dengan perkataan “bacalah” tetapi Nabi Muhammad SAW tidak dapat membaca dan situasi ini berulang sebanyak 3 kali. Baginda mengigil ketakutan dan segera pulang ke rumah dan setibanya ke rumah baginda meminta Siti Khadijah supaya menyelimutinya dan sekali lagi Jibril a.s menyeru supaya orang yang berselimut bangun dan menjauhi maksiat.

Setelah Nabi Muhammad SAW sedar beliau adalah Rasul maka selama 3 tahun beliau berdakwah secara sembunyi-sembunyi kepada keluarga dan rakan-rakan terdekatnya. Selepas itu Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan. Akibat daripada perkara itu baginda mendapat tentangan dari kaum kafir Quraisy dan mereka mengancam untuk membunuh baginda lalu Allah SWT memerintahkan baginda berhijrah ke Kota Madinah.

Setelah beliau selesai menunaikan tugasnya menyeru agama Islam di kalangan penduduk bangsa Arab dan seluruh umat manusia, maka pada tanggal 12 Rabiulawal 11 Hijrah (7 Jun 632 Masihi) baginda pulang ke rahmatullah dalam usia 63 tahun dan di makamkan di kota Madinah. Nabi Muhammad SAW mewariskan kepada keluarganya, sahabatnya dan umat manusia sekaliannya dengan sabda baginda yang bermaksud:

“Aku telah meninggalkan kepada kamu semua dua buah pusaka tidak akan tersesat jalan selagi kamu berpegang teguh pada dua perkara itu iaitu : Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah (Hadis).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...